Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Mohd. Shukor Mahfar berkata, penekanan itu diberi memandangkan kumpulan terbabit telah dikenal pasti sebagai pengelak cukai oleh LHDN.
Katanya, golongan profesional selain daripada yang dinyatakan itu turut berada di dalam radar agensi tersebut.
“Kenapa menjadi sasaran? Kerana mereka dikenali, artis, profesional, orang ramai sangat mengenali mereka. Jadi, kami mahu memastikan golongan profesional ini mesti berkelakuan sebagai pembayar cukai yang baik.
“Mana-mana kumpulan profesional, anda namakan sahaja, berada dalam radar kami. Ini merupakan pendekatan biasa yang diambil oleh agensi cukai di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar anjuran LHDN bersama Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) 2016 bertajuk Setahun Bagi Cukai Akhir: Isu dan Cabaran, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden MEF, A. Ramadass dan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan.
Dalam pada itu, Mohd. Shukor memberitahu, LHDN berharap dapat memungut lebih daripada RM1 bilion hasil cukai pada tahun ini berikutan pengurangan penalti terhadap pembayar cukai sebagaimana yang diumumkan dalam pengubahsuaian Bajet 2016.
Katanya, pada tahun lalu, agensi itu berjaya memungut hampir RM1 bilion pada tahun lalu.
“Tahun lalu, kami memberi pengurangan yang serupa, tetapi dalam skala yang kecil. Bagi tahun ini pula, kami melihat kepada semua pembayar cukai.
“Jadi, untuk usaha yang akan dilakukan pada tahun ini, kami berharap dapat lebih (berbanding tahun lalu) kerana kami menerapkan kepada semua,” jelas beliau.

-UTUSAN