Wednesday, February 8, 2017

LHDN kutip lebih RM114 Bilion cukai lansung pada 2016

Jumlah kutipan tersebut susut sedikit berbanding RM115 bilion yang di sasarkan untuk tahun 2016 berikutan kelembapan ekonomi serta harga minyak dunia yang tidak menentu. - Gambar fail


KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip lebih daripada RM114 bilion cukai langsung pada 2016, merosot sedikit berbanding RM116.8 bilion yang dikumpul pada 2015.

Timbalan Ketua Pengawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN Datuk Mohd Nizom Sairi berkata jumlah kutipan tersebut susut sedikit berbanding RM115 bilion yang di sasarkan untuk tahun 2016 berikutan kelembapan ekonomi serta harga minyak dunia yang tidak menentu.

"Prestasi ekonomi negara dan di seluruh dunia, menerima kesan negatif daripada penurunan harga petroleum sejak pertengahan 2014.

"Ia bukan sahaja memberi kesan ke atas industri minyak secara langsung, malah turut memberi kesan kepada sektor ekonomi secara keseluruhannya.

Oleh itu, kutipan hasil 2016 turun berbanding pencapaian 2015," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kunjungan Mesra Hasil Peringkat Nasional di sini hari ini.

Susulan pengubahsuaian Bajet 2016, kajian semula kedua Kementerian Kewangan mengunjurkan kutipan cukai langsung untuk 2016 sebanyak RM115 bilion.

Untuk 2017, LHDN menyasarkan untuk mengutip sebanyak RM127 bilion cukai langsung, selari dengan jumlah yang diunjurkan oleh kerajaan dalam Bajet 2017.

-- BERNAMA

Wednesday, January 25, 2017

MAJIKAN SYARIKAT WAJIB MENGEMUKAKAN BORANG E SECARA e-FILING







Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin memaklumkan bahawa mengikut peruntukan subseksyen 83(1B) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967), majikan yang terdiri daripada syarikat (termasuk syarikat Labuan) adalah diwajibkan untuk mengemukakan Penyata Oleh Majikan (Borang E) mulai Tahun Saraan 2016 secara e-Filing. Borang E kertas jika dikemukakan oleh syarikat (termasuk syarikat Labuan) adalah DIANGGAP TIDAK DITERIMA bagi maksud di bawah subseksyen 83(1B) ACP 1967. 

Bagi majikan bukan syarikat, mereka mempunyai pilihan untuk mengemukakan Borang E sama ada secara e-Filing atau pun Borang Kertas (manual). 

Tarikh akhir pengemukaan Borang E Tahun Saraan 2016 kepada LHDNM adalah 31 Mac 2017. Namun demikian, bagi menggalakkan para majikan menggunakan kemudahan e-Filing, LHDNM memberikan tambahan masa sehingga 30 April 2017 kepada majikan untuk mengemukakan Borang E Tahun Saraan 2016 secara e-Filing. Sistem e-Filing untuk pengemukaan Borang E bagi Tahun Saraan 2016 akan mula dibuka mulai 1 Mac 2017. 

Di samping itu juga, selaras dengan peruntukan subseksyen 83(1A) ACP 1967, setiap majikan adalah diingatkan untuk menyediakan dan menyerahkan penyata pendapatan tahunan (Borang EA / Borang EC) kepada semua pekerja mereka selewat-lewatnya pada 28 Februari 2017 bagi membolehkan pekerja mereka melengkapkan serta mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Kegagalan majikan untuk mematuhi peruntukan undang-undang tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 120(1)(b) Akta yang sama. Jika disabitkan kesalahan, majikan boleh dikenakan suatu denda tidak kurang daripada dua ratus ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit atau penjara selama suatu tempoh yang tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

Untuk keterangan lanjut mengenai Program Pemfailan Borang Nyata Tahun 2017, sila layarai www.hasil.gov.my atau klik pada pautan di bawah: 

http://lampiran.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBNCP_2017_1.pdf 

http://lampiran.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBNCP_2017_2.pdf 

Sumber : Kenyataan Media LHDN

Wednesday, January 18, 2017

Pengisytiharaan Cukai






From          :   xxxx
To               :  mr.radzi@yahoo.com
Subject       :  Pengisytiharan Cukai
Date           :  11 Januari 2017




SOALAN

Assalamualaikum Encik,

Saya ada membuka perniagaan tunggal Enterprise pada april 2014 dan saya tidak tahu menahu berkaitan dengan perlunya declaration untuk cukai sehinggalah saya terbaca dari blog tuan.

Bolehkah saya hanya buat declaration akaun untuk 2016 sahaja dan bolehkan akaun tersebut hanya dibuat oleh saya secara kasar dan tulisan tangan?Saya sangat buntu dan takut.

Tambahan pula perniagaan tidaklah terlalu maju dan tidak banyak untung malah rugi.sekian tq


JAWAPAN

Assalamualaikum Tuan,

Untuk makluman, pendapatan perlu diisytiharkan bermula dari perniagaan dijalankan. Ini adalah kerana, berdasarkan Seksyen 7, Akta Cukai Pendapatan 1967 setiap pendapatan yang diterima dalam Malaysia perlu diisytiharkan ke LHDN. 

Ia tidak menjadi masalah sekiranya akaun perniagaan dilakukan secara manual tanpa menggunakan sebarang perisian perakaunan.

Tetapi adalah dinasihatkan agar Puan menyediakan akaun bagi Perniagaan bagi mendapatkan maklumat Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-Kira yang tepat. Maklumat ini diperlukan bagi mengisi Borang B untuk dihantar ke LHDN selain perlu disimpan sebagai rujukan pada masa akan datang.

Dalam penyediaan akaun bagi Perniagaan, pihak Puan perlulah menyimpan segala resit-resit perbelanjaan dan baucer jualan sepanjang tempoh perakaunan tersebut. Selain itu, penyata bank juga penting dalam proses penyediaan akaun.

Cukai pendapatan akan dikira melalui Borang B tersebut melalui hasil keuntungan atau kerugian perniagaan. Sekiranya terdapat cukai perlu dibayar, maka pemilik perniagaan perlu membuat bayaran cukai mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Disini kami lampirkan proses perakaunan dan pengiraan cukai yang perlu dilakukan bagi setiap pemilik perniagaan (Lampiran 1).

Sekiranya perlu, pihak Puan boleh mendapatkan nasihat daripada mereka yang lebih arif seperti akauntan, dalam perkara-perkara berkaitan Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-Kira Perniagaan Puan.

Semoga jawapan ini dapat membantu.

Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...