Thursday, February 11, 2016

Tawaran Pengurangan Penalti Bagi Pengakuan Sukarela

     







Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menawarkan pengurangan penalti pada kadar tertentu bagi pengakuan secara sukarela pembayar cukai bermula 1 Mac sehingga 15 Disember tahun ini.
LHDN dalam kenyataan berkata pengurangan itu meliputi pembayar cukai yang masih belum mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) atau Borang Nyata Petroleum (BNP) tahun kebelakang.
Pengurangan penalti juga diberikan kepada pembayar cukai yang telah mengemukakan BNCP atau BNP tetapi tidak melaporkan maklumat cukai pendapatan dengan betul, tambah kenyataan itu.
"Pelupus yang gagal melaporkan pelupusan hartanah dalam tempoh yang ditetapkan dan pembayar duti yang gagal mengemukakan surat cara untuk disetemkan dalam tempoh yang ditetapkan juga ditawarkan pengurangan penalti."
Penawaran itu dibuat susulan pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Jan lalu bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela melaporkan pendapatan tahun kebelakang dan juga menyelesaikan amaun tunggakan cukai mereka.
Selain itu, LHDN juga memberikan penghapusan kenaikan cukai kepada pembayar cukai yang membayar amaun tunggakan cukai pendapatan, cukai petroleum, cukai keuntungan hartanah atau cukai pegangan sebelum atau pada 15 Disember 2016.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu pertimbangan pengurangan penalti dan penghapusan kenaikan cukai berkenaan tertakluk kepada merit sesuatu kes dan syarat yang ditetapkan LHDN.
Garis panduan mengenai tawaran ini boleh dirujuk di Portal Rasmi LHDN www.hasil.gov.my dan pembayar cukai boleh menghubungi Meja Bantuan Pengurangan Penalti dan Penghapusan Kenaikan Cukai di talian 03-8313 8885 atau Pusat Khidmat Pelanggan LHDN di talian 1-800-88-5436.
- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...