Wednesday, December 7, 2016

PENGARAH SYARIKAT DIDENDA RM34,500 KERANA GAGAL MENGEMUKAKAN PENYATA CUKAI SYARIKAT DI BAWAH AKTA CUKAI PENDAPATAN 1967



KUALA LUMPUR 25 Oktober – Seorang pengarah syarikat didenda RM34,500 atas kegagalan mengemukakan penyata cukai dalam Borang C di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ng Swee Yin, 53 tahun yang juga merupakan Pengarah Syarikat Rulmel Sdn Bhd, didapati gagal mengemukakan Borang C bagi Tahun Taksiran 2001 hingga 2014 berdasarkan hasil penemuan siasatan yang dijalankan.

Tertuduh menghadapi 13 pertuduhan di bawah Seksyen 77A(1) dan Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang membawa kepada hukuman denda tidak kurang daripada RM200.00 dan tidak melebihi RM2,000.00 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. Tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah peruntukkan yang sama yang melibatkan Tahun Taksiran 2014 di mana jika disabitkan dengan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM200.00 dan tidak melebihi RM20,000.00 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Tuan Zuhair Bin Rosli pada hari ini dan mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 bagi setiap pertuduhan untuk tahun taksiran 2001 hingga 2013. Jika gagal membayar, tertuduh akan dikenakan hukuman 3 minggu penjara bagi setiap pertuduhan tersebut. 

Manakala bagi pertuduhan untuk tahun taksiran 2014, tertuduh telah didenda sebanyak RM15,000. Jika tertuduh gagal membayar denda tersebut, tertuduh akan dikenakan hukuman 4 bulan penjara. 

Selain itu, tertuduh juga telah diarahkan oleh Mahkamah untuk mengemukakan Borang C bagi kesemua tahun taksiran tersebut dalam tempoh 3 bulan dari tarikh hari ini. Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa LHDNM Cik Norsyamimi binti Bukhari dan tertuduh tidak diwakili peguam.  

Sumber : Kenyataan Media LHDN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...