DI
MALAYSIA, hampir 70 peratus hasil negara datangnya daripada hasil cukai. Cukai
ini boleh dikelaskan kepada cukai langsung dan cukai tak langsung.
Cukai
langsung merupakan cukai yang dibayar oleh rakyat secara terus kepada pihak
kerajaan seperti cukai pendapatan yang diuruskan oleh Lembaga Hasil Dalam
Negeri (LHDN). Cukai
pendapatan merupakan cukai yang dikenakan terhadap pendapatan yang diperolehi. Lebih
banyak pendapatan yang diperoleh, lebih tinggi cukai pendapatan yang harus
dibayar.
Manakala
cukai tak langsung pula adalah cukai yang tidak di bayar terus atau langsung
kepada pihak kerajaan. Cukai
tak langsung ini dibayar dalam bentuk pembelian barangan daripada sesebuah
kedai atau entiti perniagaan yang kemudiannya mereka akan membayar cukai itu
kepada kerajaan. Contoh
cukai tak langsung adalah seperti cukai perkhidmatan dan juga cukai jualan.
Urusan cukai Perkhidmatan dan juga cukai jualan ini ditadbir oleh Jabatan
Kastam Diraja Malaysia.
Sebagai
contoh, apabila kita menginap di sesebuah hotel atau makan di kedai-kedai
tertentu, caj yang dikenakan akan tertera perkataan cukai perkhidmatan enam
peratus. Caj
yang dibayar kepada hotel tersebut akan dibayar oleh hotel melalui cukai
perkhidmatan kepada kerajaan.
Cukai
jualan pula merupakan cukai yang dikenakan keatas pengilang yang mengilang
barangan dan juga ke atas pengimport yang mengimport barangan. Kebanyakan
barangan yang dikenakan cukai jualan adalah pada kadar 10 peratus. Contoh
barangan yang dikenakan cukai jualan adalah perabot, peti ais, televisyen,
baju, kasut dan pelbagai lagi barangan lain.
Elemen
cukai jualan ini telah diambil kira sebagai kos apabila para peniaga menetapkan
harga jualan barangan tersebut. Kita perlu faham hampir kebanyakan barangan
yang dibeli sekarang telah pun dikenakan cukai jualan.
Sistem
cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang ada sekarang mempunyai banyak
kelemahan dan kerajaan kehilangan banyak hasil disebabkan oleh kelemahan itu.
Sebagai
satu langkah reformasi cukai dan bagi memastikan sistem percukaian yang lebih
adil, telus dan efisien, pihak kerajaan telah menyatakan hasrat untuk
memansuhkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan dan menggantikannya dengan
Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau dalam bahasa Inggerisnya 'Goods and
Services Tax' (GST).
Cukai
barangan dan perkhidmatan telah diperkenalkan lebih daripada 160 buah negara di
seluruh dunia dan telah terbukti berkesan di dalam konteks ekonomi moden.
Negara
seperti Singapura, United Kingdom, Australia dan Thailand telah lama
memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan dan Malaysia juga dijangka akan
turut memperkenalkan cukai ini tidak lama lagi.
Dengan
pengenalan cukai barang dan perkhidmatan ini, negara akan melangkah setapak
lagi ke arah status negara maju dan rakyat akan berada dalam sistem percukaian
yang lebih adil, telus dan efisien. - BERSAMBUNG ESOK
Sumber : Utusan Malaysia
Artikel Sumbangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia
Tarikh Disiarkan
: 23/10/2013