Kajang, 31 Julai – Seorang pengarah syarikat
diarahkan membela diri oleh Mahkamah Majistret Kajang atas dakwaan mengelak
cukai pendapatan.
Pada perbicaraan di Mahkamah Majistret
Kajang hari ini, Majistret Abd. Jalil Salam bin Muhamad berpuashati bahawa
pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Lee Yoke
Wan, 63 tahun dari Syarikat Konajaya Sdn. Bhd.
Tertuduh didakwa atas tiga kesalahan secara
sengaja dan dengan niat mengelak cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2000, 2001
dan 2002. Bagi kesalahan pertama tertuduh didakwa kurang lapor amaun pendapatan
tahun taksiran 2000 sebanyak RM 1,235,563.00 melibatkan ketirisan cukai
berjumlah RM 345,957.64. Manakala bagi kesalahan kedua dan ketiga, tertuduh
didakwa kurang lapor amaun pendapatan bagi tahun taksiran 2001 dan 2002
masing-masing sebanyak RM 8,729,306.00 dan 2,838,496.00 melibatkan ketirisan
cukai masing-masing berjumlah RM 2,444,205.68 dan RM 794,778.88.
Pendakwaan dilakukan dibawah Seksyen
114(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak
kurang RM 1,000 dan tidak lebih RM 20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun
atau kedua-duanya sekali dan penalti khas sebanyak tiga kali ganda jumlah cukai
terlibat jika disabitkan kesalahan.
Lapan orang saksi telah dipanggil
memberikan keterangan sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung. Pendakwaan
telah dilakukan oleh Pegawai Pendakwa LHDNM, Al-Hummidallah bin Idrus dan Mohd
Shafuddin bin Hasan, manakala tertuduh diwakili oleh Peguambela Noramin Petra
bin Nor Hanapiah.
Majistret Abd. Jalil Salam bin Muhamad
menetapkan tarikh tertuduh membela diri pada 17 sehingga 20 September 2013.
Sumber : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Tarikh Dikeluarkan : 31 Julai 2013