JOHOR BAHRU - Dua
beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap
pertuduhan melepaskan tanggungjawab sebagai pengarah syarikat dengan mengeluarkan
wang syarikat tanpa kelulusan, tiga tahun lepas.
Chen Chew, 57, dan Chen
Choong Khung, 50, pengarah syarikat Cosmic Electrical Engineering Sdn Bhd
dituduh melepaskan tanggungjawab terbabit dengan mengeluarkan wang di dalam
akaun Public Bank Berhad melalui cek bernombor 131364 berjumlah RM112,002.15
tanpa kelulusan syarikat dalam mana-mana mesyuarat agung.
Kedua-dua mereka
didakwa melakukan kesalahan tersebut di Suite 2, Tingkat 1, 2J-1, Jalan Giam,
Taman Majidee, di sini pada 24 Sept 2010.
Mereka dituduh mengikut
Seksyen 132(1) Akta Syarikat 1965 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 132(3)(b)
akta yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda
RM30,000 jika sabit kesalahan.
Chew dan Choong turut
mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan pilihan iaitu
menyalahgunakan harta syarikat dengan mengeluarkan wang syarikat di dalam akaun
bank melalui cek dengan jumlah yang sama, di alamat, waktu dan tarikh yang
sama.
Kesalahan terbabit
dituduh mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965 yang boleh dihukum di
bawah Seksyen 132(3)(a) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara
sehingga lima tahun atau denda RM30,000.
Pegawai pendakwa
daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia Mohamad Azies Han Mohd Fadzil
mencadangkan kedua-dua mereka diikat jamin sebanyak RM20,000, bagi kedua-dua
pertuduhan, bagaimanapun, peguam YC Wong yang mewakili kedua-dua tertuduh
merayu jumlah itu dikurangkan.
Hakim Muhammad Jamil
Hussin membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM10,000
dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah menetapkan 9
Julai bagi sebutan semula pertuduhan
yang dihadapi Chew dan 24 Julai bagi Choong.
- Bernama
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/