Wednesday, February 11, 2015

Cara pengiraan keuntungan, pengiraan cukai dan cara pendaftaran di LHDN untuk perniagaan jenis Perkongsian/Enterprise


SOALAN :

Salam tuan saya ada beberapa soalan berkaitan syarikat enterprise. Syarikat ini perkongsian antara A dan B. Saya merupakan adik kepada A yang bekerja disyarikat itu dan saya tidak tahu selok belok perniagaan mahupun akaun. Saya ada beberapa kemusykilan

1. A & B telah mengeluarkan modal untuk pembelian asset bagi kegunaan perjalanan perniagaan. Selepas beberapa bulan syarikat beroperasi. Syarikat telah memulangkan semula modal kepada si A & B secara bulanan mengikut 20% daripada keuntungan syarikat dan 20% untuk bahagian keuntungan si A dan B. Manakala 60% dimasukkan semula kedalam syarikat untuk pusingan modal. Pembahagian peratusan ini berterusan sehingga modal tersebut habis dibayar.

Soalan saya, perlu ke syarikat memulang semula modal yang telah dikeluarkan oleh A & B?

2. Berkaitan dengan cukai pendapatan. Apa yg saya faham syarikat enterprise yang akan kena cukai adalah individu iaitu pemilik A & B. syarikat juga membayar gaji bulanan kepada si A & B. jadi pendapatan A& B adalah ( Gaji + 20%keuntungan syarikat) jadi pengiraan cukai diambil dari ( Gaji + 20% ) ataupun ( 60% keuntungan yg dimasukkan semula kedalm syarikat ) ataupun ( gaji + 20% + 60% )

3. Dokumen apa yang perlu dikemukakan bagi mendaftar di LHDN? Memandangkan saya tidak mempunyai asas perakaunan, jadi saya hanya membuat kira-kira biasa yang mengandungi perbelanjaan, pendapatan, hasil jualan, tetapi tidak mengikut format akaun sebenar. saya ada lampirkan contoh kira-kira. Boleh digunakan atau tidak laporan kira-kira itu?

Harap tuan dapat membantu. Terima kasih




JAWAPAN :

Salam Puan, Terima kasih diatas soalan yang diberikan.

1. Pada kebiasaannya, perniagaan jenis perkongsian akan membuat perjanjian diantara pekongsi mengenai pembahagian keuntungan dan elaun modal. Tetapi sekiranya tiada perjanjian yang dibuat dan dipersetujui, Maka pembahagian keuntungan dan elaun modal hendaklah sama rata iaitu 50% - 50%. Mengenai pemulangan modal pula, ianya bukan lah suatu perkara yang mesti dilakukan oleh perniagaan tersebut. Ini adalah kerana pekongsi boleh mengambil gaji dari perniagaan itu. Keputusan untuk pemulangan modal adalah terpulang kepada persetujuan antara pekongsi itu sendiri.

2. Setiap Individu yang menjalankan perniagaan perlu menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berdasarkan Seksyen 77A(1). Apabila pekongsi ingin mengisytiharkan cukai individu masing-masing, maka pekongsi harus lah mengistiharkan pendapatan yang diterima dari perniagaan dan juga gaji yang diterima. Ini bermaksud, pendapatan yang diisytiharkan adalah seperti contoh yang diberikan oleh Puan iaitu keuntungan (20%) dan gaji yang diterima dari perniagaan.


Untuk makluman Puan, bagi perniagaan jenis Perkongsian, peniaga perlu menghantar dua jenis borang iaitu :


  1. Borang B (Borang Untuk Individu Bermastautin Yang Mempunyai Punca Pendapatan Perniagaan).Tarikh akhir bagi penghantaran Borang B ialah 30 Jun tahun berikutnya. (Setiap Pekongsi)
  2. Borang P (Borang Nyata Perkongsian). Tarikh akhir bagi penghantaran Borang P ialah 30 Jun tahun berikutnya.

Contoh pengiraan cukai bagi pekongsian adalah seperti dilampiran
  • Laporan kewangan bulanan yang Puan lampirkan bersama soalan ini boleh digunakan, akan tetapi adalah lebih baik sekiranya akaun perniagaan dibuat oleh pihak yang lebih berpengetahuan kerana maklumat yang diberikan didalam laporan bulanan tersebut tidak mencukupi. Dikhuatiri laporan yang dikeluarkan oleh Puan tidak dapat memberikan maklumat yang tepat bagi proses mengisi borang cukai yang perlu dihantar ke LHDN.




Oleh itu, adalah dinasihatkan agar Puan merujuk kepada pihak yang lebih berpengetahuan seperti
Akauntan dan Agen Cukai bagi penyediaan akaun Perniagaan untuk mendapatkan maklumat Penyata
Pendapatan dan Kunci Kira-Kira yang tepat. Maklumat ini diperlukan bagi mengisi Borang P dan B untuk dihantar ke LHDN selain perlu disimpan sebagai rujukan pada masa akan datang.


Diharap jawapan ini dapat membantu sedikit sebanyak permasalahan Puan.

Terima kasih.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...