Operasi ‘ketuk pintu’ buru pengelak cukai
Sebilangan 98,615 syarikat, 1.7 juta individu terlibat
KUALA LUMPUR 13 April - Sebilangan daripada 98,615 syarikat dan 1.7 juta individu yang dikesan melanggar undang-undang percukaian melalui audit cukai tahun 2014 kendalian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang dan akan ‘diketuk pintu’ bagi melunaskan bayaran cukai yang tertunggak.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Datuk Sabin Samitah berkata, hasil kutipan audit tersebut termasuk denda serta penalti dijangka mencecah RM4.47 bilion.
“Kita memilih syarikat dan individu yang terlibat ini melalui analisis risiko dan juga daripada maklumat yang diterima daripada pihak ketiga.
“Ada antara syarikat dan individu yang diaudit ini lari cukai dan tidak melaporkan pendapatan dengan telus tetapi bukan semua. Apabila kita dapat kenal pasti, mereka perlu membayar penalti tiga kali ganda daripada cukai tertunggak,” katanya dalam sidang akhbar Operasi Kunjungan Mesra Hasil Peringkat Nasional 2016 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Cawangan Pembayar Cukai Besar LHDN, Puteh Mariah Harun dan Pengarah Jabatan Perisikan Dan Profiling LHDN, Hajam Lajah Alam.
Sementara itu, Sabin berkata, sebanyak 25 hingga 30 peratus syarikat yang menghantar borang nyata cukai pendapatan tidak mengembalikan borang tersebut semula kepada LHDN sepanjang tahun 2012 hingga 2015.
“Sebanyak 25 hingga 30 peratus ini adalah syarikat yang memulangkan borang di luar tempoh yang ditetapkan dan langsung tidak memulangkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Sabin berkata, kejatuhan harga minyak dunia di bawah paras AS$40 (RM160) setong akan menjejaskan sasaran kutipan cukai iaitu sebanyak RM124 bilion.
“Setakat ini LHDN berada di landasan tepat untuk mengutip sasaran kutipan cukai yang ditetapkan untuk tahun ini.
“Kita hanya berharap harga minyak akan menjadi lebih stabil kerana kejatuhan harga di bawah AS$40 atau AS$30 setong akan menyukarkan kutipan cukai,” katanya.