Thursday, August 11, 2016

Gagal Kemuka Borang E, Pemilik Firma Guaman Didenda RM1,500



KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Akibat gagal mengemukakan penyata majikan (borang E) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pemilik firma guaman hari ini didenda RM1,500 atau satu bulan penjara jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman tersebut ke atas S. Muthu, 51, yang merupakan orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Muthu, yang juga seorang peguam membayar denda itu.
Pemilik tunggal syarikat S Muth Partnerships itu dan sebagai majikan telah gagal mengemukakan kepada LHDN penyata butiran borang E tahun 2013 pada atau sebelum 31 Mac 2014 tanpa sebab munasabah.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di syarikatnya di Brickfields, di sini.
Dia didakwa di bawah Seksyen 120(1)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa LHDN Zahirah Zamhuri memohon OKS dikenakan denda maksimum dengan alasan kesalahan itu adalah kesalahan kali keenam OKS.
Muthu merayu dikenakan kompaun yang minimum atas alasan pihaknya telah menghantar penyata tersebut namun pihak LHDN tidak menerimanya.
— Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...