Dr. Pakar Gleneagles Didakwa Elak Cukai Lebih RM6.5 Juta
KUALA
LUMPUR – Seorang doktor pakar di Hospital Gleneagles di sini didakwa di
Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan mengelak membayar
cukai pendapatan berjumlah lebih RM6.5 juta.
Leftenan
Kolonel (B) Datuk Dr Lee Chiang Heng, 57, yang juga mempunyai klinik
persendirian, mengaku tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan itu yang
dibacakan di hadapan Majistret Siti Radzeah Kamarudin.
Pengakuan
tidak bersalah itu dibuat Mohd Idhan Omar, 32, mewakili Lee yang tidak dapat
hadir ke mahkamah kerana urusan kerja. Mohd Idhan merupakan pekerja Lee.
Lee
yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) turut mengemukakan surat kuasa kepada
mahkamah memaklumkan beliau tidak dapat hadir dan mewakilkan Mohd Idhan pada
prosiding hari ini.
Dia
didakwa secara sengaja dan dengan niat untuk mengelak cukai pendapatan daripada
perniagaan klinik dan perkhidmatan di hospital swasta berkenaan keseluruhannya
berjumlah RM25,063,265.00 yang sepatutnya dimasukkan dalam Borang Nyata (Borang
B) Tahun Taksiran 2007, 2008, 2009, 2010 dan 2011 yang menyebabkan cukai
terkurang sebanyak RM6,567,992.59.
Lee
sepatutnya membayar cukai berjumlah RM638,171.80 bagi tahun 2007,
RM1,282,035.16 (tahun 2008), RM1,415,004.68 (tahun 2009), RM1,549,877.13 (tahun
2010) dan RM1,682,903.82 (tahun 2011) yang kesemuanya berjumlah RM6,567,992.59.
Kesemua
kesalahan itu didakwa dilakukan di klinik dan hospital berkenaan di Jalan
Ampang, di sini antara bulan Jun 2008 hingga Jun 2012.
Pendakwaan
dikemukakan mengikut Seksyen 114 (1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang
memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun
atau kedua-duanya dan hendaklah membayar penalti khas tiga kali ganda dari
cukai terkurang bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan
dikendalikan Pegawai Pendakwa Lembaga Hasil Dalam Negeri Mohd Shafuddin Hasan
manakala Lee diwakili peguam Dir Kheizwan Kamaruddin.
Mahkamah menetapkan 20 Sept untuk sebutan semula kes.
– BERNAMA