Wednesday, January 25, 2017

MAJIKAN SYARIKAT WAJIB MENGEMUKAKAN BORANG E SECARA e-FILING







Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin memaklumkan bahawa mengikut peruntukan subseksyen 83(1B) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967), majikan yang terdiri daripada syarikat (termasuk syarikat Labuan) adalah diwajibkan untuk mengemukakan Penyata Oleh Majikan (Borang E) mulai Tahun Saraan 2016 secara e-Filing. Borang E kertas jika dikemukakan oleh syarikat (termasuk syarikat Labuan) adalah DIANGGAP TIDAK DITERIMA bagi maksud di bawah subseksyen 83(1B) ACP 1967. 

Bagi majikan bukan syarikat, mereka mempunyai pilihan untuk mengemukakan Borang E sama ada secara e-Filing atau pun Borang Kertas (manual). 

Tarikh akhir pengemukaan Borang E Tahun Saraan 2016 kepada LHDNM adalah 31 Mac 2017. Namun demikian, bagi menggalakkan para majikan menggunakan kemudahan e-Filing, LHDNM memberikan tambahan masa sehingga 30 April 2017 kepada majikan untuk mengemukakan Borang E Tahun Saraan 2016 secara e-Filing. Sistem e-Filing untuk pengemukaan Borang E bagi Tahun Saraan 2016 akan mula dibuka mulai 1 Mac 2017. 

Di samping itu juga, selaras dengan peruntukan subseksyen 83(1A) ACP 1967, setiap majikan adalah diingatkan untuk menyediakan dan menyerahkan penyata pendapatan tahunan (Borang EA / Borang EC) kepada semua pekerja mereka selewat-lewatnya pada 28 Februari 2017 bagi membolehkan pekerja mereka melengkapkan serta mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Kegagalan majikan untuk mematuhi peruntukan undang-undang tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 120(1)(b) Akta yang sama. Jika disabitkan kesalahan, majikan boleh dikenakan suatu denda tidak kurang daripada dua ratus ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit atau penjara selama suatu tempoh yang tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

Untuk keterangan lanjut mengenai Program Pemfailan Borang Nyata Tahun 2017, sila layarai www.hasil.gov.my atau klik pada pautan di bawah: 

http://lampiran.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBNCP_2017_1.pdf 

http://lampiran.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBNCP_2017_2.pdf 

Sumber : Kenyataan Media LHDN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...